SILA KLIK ISI PENTING.png


Contoh Pengolahan Isi

  Suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah peranan ibu bapa amatlah signifikan untuk menanam nilai-nilai murni dalam jiwa cahaya mata mereka sejak kecil lagi.  Peribahasa Melayu ada mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya iaitu mendidik seseorang dengan menerapkan nilai-nilai murni sejak awal lagi.  Hal ini demikian kerana ibu bapa bertindak sebagai agen pertama dalam pembentukan sahsiah dan penjana kecemerlangan anak-anak. Bertitik tolak daripada itu,  ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapa perlu menunjukkan sikap berkasih sayang kepada anak-anak mereka. Memang pada realitinya, anak-anak akan mengikut tingkah laku ibu bapa mereka kerana mereka lebih mengenali ibu bapa mereka sendiri. Hal ini dapat dikaitkan dengan peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Selain itu, ibu bapa haruslah juga mengawasi perlakuan dan kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, berdarah setampuk pinang agar tidak terjebak dalam kancah negatif. Dalam meniti arus peredaran zaman yang semakin meruncing ini, sebilangan besar ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa akan tanggungjawab hakiki mereka untuk mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Hal ini kerana anak-anak merupakan anugerah dan tanggungjawab daripada Tuhan kepada ibu bapa untuk mencorak jiwa mereka ke arah kebaikan. Betapa rugilah ibu bapa jika tidak menyemai nilai-nilai murni dalam jiwa anak-anak kerana mereka berkemungkinan besar untuk menjejakkan kaki ke kancah negatif. Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong dan kunjung-mengunjungi sesama jiran tetangga. Daripada amalan ini , anak-anak muda mampu membuka mata, mencelikkan minda serta mengenali dunia luar yang mereka tidak pernah alaminya sendiri. Secara langsung,  sedikit demi sedikit mereka  berminat untuk melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini lagi. Jelaslah bahawa ibu bapa seharusnya menitikberatkan tanggungjawab untuk melahirkan anak-anak yang berjiwa kental untuk memupuk semangat kejiranan sesama sendiri.

I BUILT MY SITE FOR FREE USING